Perlu ke sampai nak minta isteri kita jadi macam isteri Nabi Ibrahim, Siti Hajar?

Kita Bukan Hajar Siri 1.

Eid adha telah berlalu selepas selesainya tasyrik selama 3 hari. Eid adha yang sinonim dengan raya korban ini pasti tidak dapat lari dari pengulangan kisah bermulanya sebuah pengorbanan. Kisah nabi Allah Ibrahim AS yang menerima wahyu agar dibawa isterinya Hajar beserta anak kecil mereka yang masih bayi iaitu Ismail AS ke sebuah lembah gersang yang tandus dan kosong. Hajar ketika ditinggalkan tidak membantah selepas ditanya kepada nabi Ibrahim AS, “Adakah ini perintah Allah?” dan suaminya lalu menjawab, “Ya”.
Kisah panjang yang diringkaskan sehingga nabi Allah Ibrahim AS datang semula dengan membawa pengkhabaran bahawa Allah telah mewahyukan kepada baginda agar disembelih Ismail AS yang ketika itu sudah muda remaja, menjadi pemuda yang soleh dan berbakti.

Hajar Tidak Membantah, Itulah Sifat Isteri yang Taat!

Ketika solat sunat eid adha, yang selepasnya diiringi khutbah raya, banyaklah pengkhatib-pengkhatib yang mengambil kisah mulia ini dan mensyarahkannya. Begitu juga dalam laman sosial media, kisah-kisah seperti ini membanjiri dan diulas betapa indahnya akhlak seorang isteri yang ‘sami3na wa ata3na’ (kami dengar dan kami taat). Hajar tidak membantah walaupun sepatah ketika ditinggalkan. Dia tidak meminta agar ditinggalkan bersama bekalan makanan, atau nafkah, atau khemah sebagai tempat perlindungan, atau seorang mahram atau sahabat wanita atau ahli keluarga yang dewasa sebagai peneman di tengah-tengah padang pasir yang luas.

“lihat, betapa Hajar tidak meminta haknya sebagai seorang isteri ketika ditinggalkan nabi Ibrahim! Itulah contoh yang sepatutnya kita ambil.. blablabla”, kata seorang khatib khutbah raya.

Kisah lain dalam alQuran yang sama diolah seperti ini adalah kisah Asiah isteri Firaun, ibu angkat nabi Allah Musa AS.

“Asiah isteri kepada Firaun, raja segala kejahatan dan zalim pun bersabar dalam perkahwinannya, dia tidak meminta cerai, kenapa kita pula yang baru diuji sedikit dengan suami yang kaki pukul tapi tetap tak sekejam Firaun, nak minta cerai? Mana sifat sabar sebagai seorang isteri seperti Asiah?”

Banyak komentar seperti ini yang diutarakan. Persoalannya, benarkah kita perlu menerima kisah-kisah ini dan menjadikannya hujah dalam kehidupan kita?

Pembahagian dalam Kandungan alQuran

alQuran, di dalamnya terkandung beberapa bahagian dan bahagian-bahagian ini perlu sangat jelas difahami dan dimengertikan agar tidak berlaku kebodohan dalam pentafsiran apatah lagi oleh mereka yang bukan ahlinya.

Antara pembahagian yang terbesar dalam alQuran adalah:

1) akidah

2) kisah pengajaran nabi-nabi atau kaum-kaum terdahulu

3) pensyariatan hukum untuk umat nabi Muhammad SAW

Dalam kisah pengajaran nabi-nabi terdahulu, ada disebut secara langsung atau tidak langsung beberapa keadaan yang merupakan hukum atau syariat ketika itu. Seperti mana kisah nabi Musa AS, ketika kaum Bani Israel mahu bertaubat, Allah memerintahkan mereka untuk naik ke gunung dan membunuh diri sebagai tanda keinsafan mereka,

“wahai kaumku, sungguh kamu telah menganiaya dirimu sendiri, karena menjadikan anak sapi sebagai sesembahan. Sebab itu bertaubatlah kamu kepada Penciptamu, lalu bunuhlah dirimu sendiri. Demikian itu lebih baik bagimu di sisi Penciptamu, lalu Dia menerima taubatmu. Sungguh Dia Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang” (al-Baqarah: 54)

Persoalannya, adakah kita turut perlu membunuh diri jika telah bertaubat?

Tidak. Kerana pensyariatan hukum untuk ummat nabi Muhammad SAW adalah taubat nasuha. Dan tercatat di dalam alQuran peristiwa kaedah pentaubatan Bani Israel itu adalah sebagai sebuah kisah dari kisah-kisah pengajaran, bukan sebagai pendalilan hukum syarak.

Dalil yang Disyariatkan Mematahkan Pensyariatan Terdahulu

Dalam ilmu Usul Fiqh, terdapat ilmu perbahasan mengenai dalil yang disepakati dan dalil yang tidak disepakati. Dalam yang disepakati adalah 4 iaitu: 1) alQuran, 2) Hadis/ Sunnah, 3) ijma’ dan 4) qiyas. Manakala dalil-dalil yang tidak disepakati adalah lebih banyak seperti al-istihsan, al-istishab, saddu zaraie’ dan sebagainya. Syar’u man qablana (pensyariatan terdahulu) termasuk di dalam dalil-dalil tidak disepakati ini. Dan syarat kelangsungan hukum syar’u man qablana adalah selagi TIDAK bertentangan dengan hukum syariat Islam atau TIDAK ADA penghapusan (mansukh) terhadap hukum yang lama. Contoh syar’u manqablana adalah ibadah umrah dan haji yang telah berlaku semenjak zaman nabi Allah Ibrahim AS. Namun dari segi teknik dan kaedah ibadah tersebut, terdapat perubahan selaru dengan pensyariatan yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Begitulah yang berlaku dalam kisah Asiah, isteri Firaun. Beliau tidak meminta perceraian, meski telah beriman dan diperlaku kejam oleh Firaun selepas keimanannya kerana pensyariatan ketika itu, boleh jadi tiada perceraian. Hal ini terbukti kerana Asiah tidak bercerai dengan Firaun meski telah memilih iman, sedangkan dalam pensyariatan Islam, perpisahan mesti berlaku selepas salah seorang pasangan memilih Islam dan salah seorang lagi memilih untuk kekal dalam agama asal mereka. Tidak termasuk lagi perbincangan tentang wajib fasakh dijatuhkan oleh hakim apabila terbukti berlaku penderaan atau kemudharatan ke atas isteri oleh suami. Juga talaq yang terjatuh apabila suami melanggar ta’liq iaitu jika berlaku dharar ke atas tubuh badan isteri secara fizikal mahupun mental. Semua jenis-jenis perceraian itu ada termaktub dalam pensyariatan Islam yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAW untuk menyelamatkan pasangan dari neraka pernikahan.

Perlu jelas di sini dengan tepat dan sejelas-jelasnya, bahawa pensyariatan setiap nabi-nabi adalah BERBEZA. Mengapa perlu kita ungkitkan hukum di zaman itu dengan membandingkan hukum di zaman kita?

Begitu juga yang berlaku dalam kisah Hajar bonda nabi Allah Ismail AS. Tindakan Nabi Ibrahim AS meninggalkan isterinya bersama-sama anak mereka yang masih bayi di sebuah lembah yang sunyi, jika menurut pensyariatan ummat Muhammad SAW adalah suatu tindakan yang berdosa dan merupakan kesalahan yang terbesar sebagai seorang suami. Namun hal demikian tidak berlaku di zaman itu, kerana pensyariatan mereka berbeza. Apatah lagi baginda AS adalah RASUL yang mendapat wahyu terus dari Allah. MUSTAHIL sama tindakan seorang suami biasa dengan seorang suami yang merupakan utusan Allah yang melakukan perkara hanya menurut perintah Allah, dan meninggalkan perkara hanya menurut perintah Allah.

Hajar ketika nabi Ibrahim mula bersiap untuk pergi, bertanya kepada suaminya, “kemanakah kamu ingin pergi dan meninggalkan kami di lembah ini, yang tiada manusia dan sesuatu apapun?”. Ibrahim AS diam meski soalan itu diulang lagi. Kemudian Hajar langsung bertanya, “adakah ini diperintahkan oleh Allah?”, kerana persoalan ini menyakinkannya bahawa Ibrahim AS adalah nabi Allah dan mendapat perintah dari Allah secara terus dan langsung. Apabila Ibrahim AS menjawab, “ya..”, jawapan itu sudah cukup. Lantas Hajar tidak sedikitpun protes mahupun bertanya lanjut kerana dia tahu apabila itu adalah perintah Allah, maka Allah ada menjaganya. Suaminya mendapat wahyu dari Allah, jika salah, suaminya langsung ditegur dan diancam oleh Allah, maka dia tidak sedikitpun gusar dengan tindakan suaminya meninggalkan dia dan anak kecil Ismail AS di lembah sunyi itu kerana dia tahu Allah pasti ada penyusunanNya apabila diperintahkan sesuatu. Kerana itu Hajar terus menjawab semula, “sesungguhnya Dia pasti tidak akan menyempitkan kami” (Riwayat dari alBukhari, no. 3364).

(Bersambung..)

Leave a Reply