Kisah Pemuda Syria ini pernah mengherdik pelarian Iraq, Kini jadi Pelarian

Ketika saya melawat ke negara Jordan atas urusan kerja, saya telah bertemu dengan seorang pelarian Syria di bumi Jordan, dia mahu dikenali sebagai Abdullah.

Perbualan kami menjurus kepada isu konflik syria yang sedang berlaku, dan Abdullah menceritakan betapa susahnya hidup di negara orang lain dengan menjadi pelarian tetapi itu lebih bermakna baginya daripada kehilangan nyawa sekiranya masih berada dalam zon perang di negerinya, Halab.

Apa yang cuba saya ceritakan di sini, ketika perbualan kami semakin hangat sedang cuaca luar menghampiri sifar celcius, beliau menangis teresak-esak memikirkan keluarganya dan dirinya dan beliau menyatakan suatu kekesalan yang berlaku pada dirinya.

Saya menjadi hairan, memikirkan kenapa beliau harus kesal dengan apa yang dia lakukan sekarang. 

Tetapi bukan itu yang Abdullah kesalkan, beliau kesal dengan apa yang telah beliau lakukan kepada pelarian Iraq yang datang ke negaranya 13 tahun yang lalu. Pelarian yang mahukan keselamatan nyawa daripada terbunuh dalam peperangan antara tentera Iraq dengan tentera Amerika Syarikat, mereka mencari perlindungan di negara berdekatan seperti Syria.

Tambah beliau lagi sedang matanya deras berkaca: “Aku telah menghina pelarian Iraq, aku telah menaikan sewa rumahku pada kadar yang terlampau tinggi, setiap masalah yang berlaku di tempat tinggal aku, aku akan tuding jari kepada pelarian Iraq kononnya merekalah punca kepada pelbagai masalah.”

“Malah aku pernah menghasut kawan-kawan aku untuk melakukan hal yang sama seperti apa yang aku buatkan ke atas pelarian Syria”, teresak-esak Abdullah. 

“Demi Allah, aku menyesal atas apa yang aku lakukan, kini aku pula yang menjadi pelarian dan aku merasai betapa hinanya aku dilayani oleh sebahagian penduduk Jordan”. Kesal memenuhi jiwa beliau.

Kisah ini membuatkan saya sedar bahawa Allah SWT Maha Berkuasa boleh meletakkan sesiapa sahaja di tempat yang Dia kehendaki. Dulu penghina sekarang dihina, dulu penguasa sekarang dikuasa. Abdullah dalam kisah ini dulu hidup aman tetapi sombong tapi sekarang beliau pelarian dihina dan papa kedana.

PELARIAN ROHINGYA HANYA INGIN BERNYAWA

Kini jiran tetangga kita dari Arakan menjadi pelarian, nyawa mereka begitu murah dan tiada maruah. Penghapusan etnik digerakkan atas nama agama dipersetujui tindakannya oleh Juara Keamanan yang penuh kemunafikan dan hipokrasi, saudara Arakan menjadi mangsa.

Mereka hanya ingin bernyawa, memilih keluar dari negara tercinta dengan harapan suatu hari akan kembali semula membawa risalah kemenangan, berbekalkan sebuah pengharapan mereka menuju ke negara-negara seberang walaupun mereka tahu belum tentu akan selamat. Demi nyawa, untuk terus bernafas sebagai seorang manusia.

Saudara, janganlah menghina mereka, janganlah mengherdik mereka, mereka bukan mahu negara  untuk memerintah tapi sekadar ruang untuk bernafas. 

Cuba anda tanya siapa yang tidak cinta negara tempat dibesarkan dan dilahirkan? Mereka juga mencintai tanah air mereka, dan satu hari mereka akan pulang ke negeri mereka menghasilkan sebuah kemeredekaan dengan izin Tuhan.

Kalau kita diganti tempat mereka? Apa kita sanggup? 

Bermuhasabahlah sebagaimana yang dilakukan  oleh Abdullah si pelarian di bumi Jordan. Ujian Tuhan menyedarkan beliau, jangan Allah SWT menguji kita sebagai pelarian baru sedar dunia ini bukan milik sesiapa.

Leave a Reply