Wasiat Raja-Raja Melayu

kredit gambar: Jabatan penerangan Malaysia

Tahun ini genap 60 tahun kemerdekaan Malaysia dari kuasa British. Sama ada benar-benar kita bebas merdeka atau tidak dari segala sudut itu bukan arah artikel ini ditulis.

Apabila membicarakan Malaysia hari ini, kewujudannya serta keterbentukkannya adalah rentetan daripada sejarah lepas. Daripada sejarah lepas maka Malaysia yang ada sebegini ia dicorakkan. Boleh lihat perlembagaan Malaysia.

Ketika Malaysia hendak dimerdekakan ada kesepakatan antara semua lapisan masyarakat berlainan bangsa dan agama, mereka telah sepakat atas suatu perkara yang menjadikan Malaysia ini unik dan perlu dipertahankan.

Dalam masa yang sama, ada Wasiat Raja-Raja Melayu yang mereka ikrarkan untuk disemat dalam dada mereka serta rakyat Malaysia agar ia tetap menjadi identiti sebuah negara Malaysia walaupun mendepani pelbagai cabaran.

Ramai genarasi muda tidak tahu apa wasiat-wasiat ini. Apa wasiatnya?

“Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera.”

7 perkara itu adalah:

Pertama: Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA);

Kedua: Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

Ketiga: Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

Keempat: Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;

Kelima: Kami isytiharkan ISLAM ialah Agama Persekutuan;

Keenam: Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU; dan

Ketujuh: Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Leave a Reply