Bolehkah Wanita Haid Hadir Solat Raya?

Hari raya telah tiba. Ramai umat islam bergembira dengan kedatangannya. Ia juga mengingatkan kita semua akan kisah moyang kita Nabi Ibrahim tentang peristiwa penyembilihan anaknya Nabi Ismail.
Namun, kegembiraan ini perlulah disambut samada lelaki mahupun wanita. Tetapi wanita mempunyai permasalahan khusus iaitu haid.

Bagaimanakah keadaan wanita-wanita yang datang haid pada hari yang bahagia ini? Adakah mereka dibenarkan untuk ke masjid bagi meraikan kegembiraan sesama umat islam yang lain?

Mengikut riwayat hadis, wanita haid digalakkan hadir ke masjid menyaksikannya dan mendengar khutbah raya ke arah meningkatkan takwa kepada Allah. Ia berdasarkan hadis riwayat Ummu ‘Atiyyaah: “Kami disuruh membawa keluar gadis-gadis remaja dan wanita haid pada dua hari raya supaya mereka menyaksikan kebaikan dan seruan orang Islam. Wanita yang haid mesti mengasingkan diri dari tempat solat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Daripada Hafsah binti Sirin, seorang perempuan bertanya Nabi s.a.w.: “Bolehkah kami (wanita) yang tidak memiliki jilbab, tidak keluar bersolat ‘eid?”, Baginda menjawab: “Hendaklah sahabatnya memakaikannya jilbab yang dia miliki.” Apabila bertemu Ummu ‘Atiyyah, saya bertanya: “Pernahkah puan mendengar sendiri daripada Rasulullah?” Beliau menjawab: “Saya pernah mendengar Baginda bersabda: “Hendaklah gadis remaja dan wanita yang haid keluar (ke musolla) menyaksikan kebaikan dan doa orang beriman. Wanita haid hendaklah berada jauh dari tempat solat.”(Riwayat Imam Muslim di dalam sahihnya, begitu juga Imam Bukhari dengan lafaz yang hampir sama, Abu Daud dan lain-lain).

Berdasarkan hadis tersebut, wanita-wanita yang kedatangan haid tidaklah dilarang untuk ke masjid pada hari raya tetapi hendaklah mereka menjauhkan diri mereka daripada tempat solat serta mencari tempat-tempat yang sesuai untuk mendengar nasihat dan kebaikan yang disampaikan.

Ingatlah, nabi Muhammad ﷺ tidak pernah menghalang bahkan amat menyukai wanita-wanita haid untuk hadir ke masjid supaya mereka mendengar perkataan-perkataan yang baik dan berkumpul bersama orang-orang yang beriman tetapi dengan syarat mereka mengasingkan diri mereka dari tempat solat dan tidak berhias-hias sehingga menimbulkan fitnah. Wallhua’lam.

Leave a Reply