4 Wanita dalam Hidup Musa AS (siri II)

Kredit gambar: mohammadmovie.com

 

Wanita ketiga: Ibu Angkat Musa as (Asiah, isteri firaun).

Firaun adalah manusia rosak dan perosak. Dia mengamalkan politik pecah dan perintah sehingga rakyat tidak mempunyai kesatuan untuk melakukan sebarang perubahan. Antara kezaliman dalam dasar pemerintahannya adalah dengan melaksanakan penggubalan undang-undang agar seluruh bayi lelaki bani Israel disembelih dan hanya membiarkan hidup bayi perempuan mereka.

“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan” (alQasas: 4)

Perintah agar disembelih bayi lelaki bani Israel adalah sebuah dasar kerajaan, dan sebarang perubahan ke atas perintah itu adalah bermakna berlaku penentangan terhadap dasar yang telah diputuskan.

Namun itulah yang berlaku dengan kuasa seorang wanita.

Musa as ketika bekas yang melindungi tubuh mungil dan comelnya sepanjang merentasi arus deras sungai Nil memasuki perkarangan istana Firaun, dia diambil oleh ahli keluarga firaun. Isteri firaun yang melihat wajah bayi yang mulia it uterus lantas jatuh cinta dengan keelokan wajah Musa as.

Asiah tahu bagaimana rendahnya darjat wanita dalam sistem pemerintahan firaun tetapi tetap berani pergi menemui firaun untuk meminta kebenaran. Bukan sebarangan kebenaran yang akan diminta oleh Asiah, malah kebenaran yang akan mengecualikan perlaksaan sebuah dasar kerajaan yang dipimpin oleh bukan sebarang raja, malah firaun raja zalim yang paling berkuasa.

Asiah sambil membawa Musa as, datang menemuni firaun dengan membawa 3 hajat iaitu:

1) la taqtuluhu (jangan kamu membunuh dia)

2) ‘asa yanfa’anaa (mungkin dia boleh membawa manfaat kepada kita)

3) nattakhizahu walada (kita jadikan dia sebagai anak angkat)

“Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: “(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya)” (alQasas: 9)

Asiah bukan bercakap dengan sebarang manusia tetapi dia sedang bercakap dengan firaun yang membunuh bayi lelaki tanpa memperdulikan nilai hak asasi kemanusiaan. Dan Asiah bukan meminta sesuatu yang mudah.

Pertama, Asiah meminta agar bayi lelaki itu tidak dibunuh. Ajaib! Kerana itu adalah dasar sebuah kerajaan. Di luar istana sudah ratusan mungkin ribuan bayi lelaki bani Israel yang dibunuh. Tetapi untuk bayi lelaki itu, Asiah meminta pengecualian dari pembuat dasar tersebut, iaitu firaun. Maka, itu adalah suatu penentangan terhadap pemerintah.

Kedua, Asiah mengemukakan kemungkinan bayi itu akan mendatangkan kebaikan kepada mereka. Bayi itu adalah bayi dari bani Israel, bangsa terhina dan bangsa hamba bagi masyarakat Mesir saat itu. Betapa bani Israel tidak dianggap sebagai manusia, ketika firaun memerintahkan bayi lelaki mereka dibunuh, tiada penentangan yang disuarakan oleh masyarkat Mesir walaupun tindakan itu sama sekali melanggar sifat normal kemanusiaan. Dan memberitahu firaun bahawa bayi dari bani Israel itu akan mendatangkan kebaikan adalah suatu kata-kata yang akan menghina firaun dan seluruh kedudukan masyarakat Mesir.

Ketiga, Asiah meminta keizinan agar anak itu diambil sebagai anak angkat. Hal ini bermakna bayi lelaki dari bangsa terburuk Mesir itu akan duduk dan tinggal di dalam istana firaun, diberi layanan sebagai salah seorang kerabat diraja oleh bangsa Mesir yang lainnya. Itu adalah suasana penghinaan sekali lagi kepada firaun dan seluruh masyarakat Mesir.

Namun adakah firaun menolak permintaan isterinya Asiah? Tidak.  Sangat menakjubkan apabila si raja yang kejam itu bersetuju dengan permohonan Asiah.

Meski tidak diceritakan secara terperinci, dapat kita simpulkan bahawa keperibadian dan kedudukan Asiah di mata firaun adalah sesuatu yang terhormat walaupun hakikatnya pada zaman itu, wanita diperlaku sebagai bangsa kedua, tidak mempunyai hak yang serata dengan lelaki apatah lagi untuk mencampuri urusan pentadbiran sebuah negara, namun dengan izin Allah dan kehebatan seorang wanita yang bernama Asiah, telah berlaku dalam sejarah, firaun mengambil keputusan mengubah dasar dengan mengecualikan perlaksanaan dasar itu terhadap seorang bayi lelaki bani Israel atas permintaan Asiah.

Dan selamatlah Musa as dari peristiwa penghapusan etnik bangsa bani Israel.

Wanita keempat: Isteri Musa as

Pasangan adalah nilai terpenting dalam hidup seseorang. Sokongan, dokongan dan kepercayaan pasangan merupakan antara kekuatan terbaik dalam mengubah hidup seorang manusia menjadi lebih baik dan lebih berjaya.

Musa as ketika tercampak jauh dari tempat asalnya kerana berlari menyelamatkan diri dari tentera firaun, baginda bertemu dengan 2 orang wanita yang sedang menunggu giliran memberi minum haiwan ternakan. Baginda menghulurkan bantuan dan bantuan baginda dibalas dengan jemputan ke rumah ayah 2 orang wanita tersebut, iaitu nabi Syuaib as  mengikut pandangan sebahagian besar ahli tafsir dan begitu jugalah yang disebut oleh Hasan alBasri.

Salah seorang wanita itu berkata kepada ayah mereka, “Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah” (alQasas: 26). Dan ayahnya bertanya kepada anak perempuan itu, “apakah yang mendorong kamu menilai sebegitu?”, dijawab oleh anak perempuan itu, “sesungguhnya dia dapat mengangkat batu besar yang tidak dapat diangkat kecuali oleh 10 orang lelaki dewasa, dan aketika aku berjalan bersamanya, aku berjalan di hadapannya dan dia berkata kepadaku, “berjalanlah kamu di belakangku dan jika aku tersalah jalan, beritahulah aku dengan lemparan batu kerikil agar aku tahu jalan mana yang perlu aku tuju” (Diriwayatkan oleh Umar dan Ibnu Abbas).

Ulama’ mentafsirkan bahawa wanita yang memberikan kata-kata ini adalah wanita yang kemudiannya menjadi isteri kepada Musa as. Sufyan asSauri meriwayatkan dari Abu Ishaq, dari Abu Ubaidah bahawa Ibnu Mas’ud ra berkata: 3 orang yang paling mahir berfirasat, iaitu: Abu Bakr ra ketika mengfirasatkan Umar ra (untuk menggantikannya), tuan Yusuf (al-aziz) ketika berkata (kepada isterinya iaitu ibu angkat Yusuf ra), “hormatilah kedudukannya” dan isteri Musa ra ketika berkata kepada ayahnya “Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah” (alQasas: 26).

Sesungguhnya itu adalah kuasa kekuatan pasangan yang melihat keunikan, kebaikan dan kelebihan yang ada pada diri kita untuk kita bina dan perkukuhkan. Tidak akan ada sesiapa yang sedar kekuatan yang ada pada Musa as untuk dimanfaatkan jika bukan diamati oleh seorang wanita yang kemudiannya menjadi teman hidup sepanjang perjalanan perjuangan Musa as.

Sikap positif dan memotivasikan adalah sangat penting untuk dimiliki oleh setiap manusia yang menjadi pasangan hidup kepada manusia yang lainnya kerana suami/ isteri adalah manusia yang paling hamper dan paling dekat untuk menyelami isi hati manusia. Suami/ isteri boleh menjadi penawar, benteng ampuh dan tongkat dalam masa yang sama suami/ isteri boleh menjadi racun pembunuh, penghakis tembok dan beban yang menjatuhkan.

Dan perjuangan Musa as untuk bangkit di hadapan firaun bermula dengan keyakinan suri hatinya terhadap kekuatan dalaman yang ada pada dirinya.

Kesimpulan: Kejayaan seorang Lelaki Bersamanya ada Wanita di sisinya.

Wanita tidak berada di belakang di balik kejayaan setiap lelaki, tetapi wanita sentiasa mengiringi setiap perjalanan kehidupan lelaki sehingga mereka menjadi kuat dan teguh atas pendirian yang dipilih.

Oleh kerana itu amatlah jelik jika wanita hanya difitnah sebagai ciptaan penggoda sahaja, kerana wanita terbukti menjadi makhluk terpenting dalam hidup manusia. Yang meletakkan dan membentuk wanita sebagai objek dan simbol seksual adalah masyarakat. Yang mendidik dan yang mencorak wanita untuk disibukkan dengan kecantikan dan hiburan adalah masyarakat. Dan masyarakat juga yang boleh membina semula jati diri wanita untuk kembali menjadi manusia yang bercita-cita dan mempunyai nilai hidup yang tinggi.

Justeru, pendidikan ke arah kematangan wanita itu amat penting. Ayuh masyarakat, ubahlah prejudis kita dan perkasakanlah wanita!

Rujukan:

Tafsir Ibnu Katsir. Surah alQasas.

Nazri Mustaqim. Peranan pemudi dalam sesebuah negara.

Leave a Reply