4 Wanita dalam Hidup Musa AS (siri I)

Kredit gambar: mohammadmovie.com

Dalam alQuran terdapat banyak kisah-kisah penting yang diceritakan semula oleh Allah swt kepada Rasulullah saw untuk kita mengambil pelajaran dan hikmah melaluinya. Antara yang dikisahkan dalam alQuran adalah berkaitan penglibatan wanita dalam perjalanan kehidupan nabi as.

Apabila disebut wanita dalam kisah nabi-nabi as, kisah yang paling masyhur dalam masyarakat adalah kisah ibu angkat nabi Allah Yusuf as, isteri al-aziz yang menggoda baginda serta mengfitnah baginda. Kisah ini amat terkenal sehingga berlaku kejahatan dalam merendahkan wanita semata-mata kerana berlaku ketidak adilan dalam pentafsiran dan pembandingan ayat.

Sehingga ada ulama’ pernah mempersoalkan dalam ajarannya, “siapakah yang lebih dahsyat tipu daya mereka, syaitan atau wanita?”, dan dijawabnya kedahsyatan itu berpihak kepada wanita kerana dalam alQuran, tertulis , “sesungguhnya tipu muslihat kamu amat dahsyat!” (inna kaidakunna ‘adzim) dalam surah Yusuf ayat 28 ketika peristiwa isteri alaziz cuba menggoda Nabi Allah Yusuf dan gagal, al-aziz yang muncul dan terbukti akan kebenaran di pihak nabi Yusuf a.s., al-aziz dengan marah membentak isterinya dengan kata-kata tersebut.

Manakala dalam surah anNisa’ ayat 76, Allah menyebut , “sesungguhnya tipu muslihat syaitan itu lemah” (inna kaidasysyaitani kana dho’ifaan). Justeru peristiwa isteri al-aziz ini telah membuatkan seluruh wanita di kemudian harinya terpikul dengan beban tuduhan sebagai punca segala kemaksiatan. Mereka menyimpulkan bahawa, “aku lebih takut dengan wanita melebihi takut aku kepada syaitan kerana Allah menyebut godaan syaitan itu lemah tetapi tidak bagi godaan wanita”.

MASYAALLAH.

Sedangkan yang menyebut tentang godaan wanita itu dahsyat adalah dari lidah seorang manusia yang lainnya, dan hanya tercatat dalam alQuran sebagai sebahagian dari kisah nabi Allah Yusuf. TETAPI yang menyebut tentang godaan syaitan adalah Allah PEMILIK LIDAH ALQURAN sebagai pujukan bagi mukmin untuk bertahan melawan tipu muslihat, godaan dan bisikan kejahatan dari syaitan.

TIADA LANGSUNG BERKAITAN ANTARA KEDUANYA APATAH LAGI UNTUK MEMBANDINGKAN ANTARA KEDUANYA.

Dari salah faham ini muncul terlalu banyak tanggapan-tanggapan salah terhadap wanita sehingga ada pepatah arab yang berbunyi, “keseluruhan bagi wanita adalah kejahatan. dan kejahatan yang ada dalam dirinya itu tidak lain dan tidak bukan adalah kejahatan memang berpunca dari dirinya”.

Dan sedarkah kita bahawa disebalik kejahatan seorang wanita itu, kita terlupa ada sebuah kisah agung tentang 4 orang wanita yang membentuk kehidupan seorang anak lelaki dan seorang pemuda sehingga baginda menjadi Rasul dan bangkit berdiri dengan gagah dan berani di hadapan firaun yang maha zalim dan kejam?

Itulah kisah Musa as. Kisah 4 orang wanita dalam hidup baginda.

Kisah Wanita dalam Hidup Musa as.

Bani Israel di zaman firaun adalah bangsa terhina. Bangsa yang tiada nilai manusiawi. Bangsa yang sudah hilang jati diri mereka untuk hidup dan untuk memiliki rasa berjuang dek penindasan dan penghinaan yang berakar umbi sejak berzaman. Ketika mana firaun memerintahkan seluruh bayi lelaki dari bani Israel disembelih, tiada langsung pihak lain yang membangkang mahupun bersimpati, malah di pihak bani Israel sendiri, mereka sudah berputus asa untuk melawan dan hanya pasrah melihat gerombolan tentera firaun datang menceroboh ke rumah mereka, merampas dan menyembelih bayi lelaki mereka itu di hadapan mata mereka sendiri.

Betapa itulah situasi yang berlaku kepada bani Israel saat itu.

Dari tekanan luar, mereka menghadapi kezaliman yang jelas dan berat. Manakala dari tekanan dalaman, mereka kehilangan ruh sebuah kehidupan.

Wanita pertama: Ibu Musa as

Ketika Musa as dilahirkan, ibu Musa as mengalami kekabutan jiwa yang amat. Tidak terungkap betapa gerun dan bercelarunya perasaan seorang ibu yang baru selesai bertarung dengan nyawa untuk melahirkan seorang anak, dan apabila anak baru sahaja didakap dengan lumuran darah, dia sedar bila-bila masa sahaja akan ada pihak yang datang merampas bayi kecil itu dan menyembelihnya tanpa belas kasihan.

Ketakutan ibu Musa membuatkan dia terlupa apa yang perlu dilakukan sebagai seorang ibu. Allah Yang Maha Penyusun perjalanan cerita Musa as memerintahkan ibu Musa untuk menyusukan anaknya dan mententeramkannya dengan jaminan bahawa anaknya itu akan dikembalikan kepadanya.

“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:” Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke sungai (Nil); dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami” (alQasas: 7)

Adalah sesuatu yang gila dan mustahil untuk meyakini jaminan itu saat berada dalam situasi sebegitu, melainkan tidak lain dan tidak bukan kerana keimanan ibu Musa yang menyelamatkan keadaan.

Bayangkan seorang ibu yang baru melahirkan anak, dan anak yang dilahirkan adalah anak yang tersenarai sebagai mereka yang wajib disembelih (kerana anak lelaki), yang pada bila-bila masa sahaja anak itu akan dibunuh, dan dalam pada itu, tiba-tiba diilhamkan agar anak itu dilepaskan ke sungai yang besar dengan tanpa jaminan bahawa anak itu tidak dihanyutkan air deras, tenggelam ke dasar sungai atau dimakan haiwan pemangsa. Amat mustahil dek aqal bahawa anak itu akan selamat.

Namun ada jaminan dari yang diimani oleh ibu Musa bahawa ibu itu tidak perlu bimbang dan berdukacita kerana anak itu pasti akan dikembalikan semula ke pangkuannya. Dan jaminan itu yang dipegang oleh sang ibu dengan kekuatan keimanannya.

ALLAH.

Saat anak yang telah dilayarkan itu, sang ibu yang mukminah berusaha melawan tekanan jiwanya dan berusaha keras untuk mendiamkan diri agar anaknya selamat tanpa disedari oleh tentera firaun.

Jika bukanlah kerana kekuatan jiwa sang ibu dengan izin Allah, pastilah ibu yang ketakutan dan penuh perasaan cinta kepada anaknya akan berlari semula mengubah fikiran dan menjerit meminta bantuan agar anaknya diambil semula dari aliran deras sungai Nil. Pasti dan sangat pasti, teriakan ibu Musa akan didengari oleh tentera dan diketahuilah bahawa ada anak lelaki dari Bani Israel yang baru dilahirkan dan bayi itu pasti dan sangat pasti akan dikutip dan dibunuh.

“Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya ia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah ia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah)” (alQasas: 10)

Kalimah “rabathnaa ‘ala qulubiha” adalah ayat ini yang sama dengan ayat “rabathnaa ‘ala qulubihim” (alKahfi: 14) bagi kisah pemuda alKahfi saat mereka diperkukuh dan diperteguhkan hati mereka untuk bangkit di hadapan pemimpin yang zalim semata-mata untuk menyatakan keimanan mereka. Justeru, digambarkan dalam ayat ini betapa Allah mencengkam hati dan perasaan sang ibu untuk teguh dengan keimanan dan keyakinan bahawa janji Allah itu benar untuk anaknya diselamatkan. Cengkaman itu untuk mengendurkan kegoncangan yang dahsyat dalam jiwa seorang ibu.

Pergelutan yang berperang dalam jiwa hanya diterbitkan dengan satu kata, iaitu,

“qussihi (ikutlah dia: iaitu Musa)” (alQasas: 11)

Wanita kedua: Saudara Perempuan Musa as.

Wanita kedua yang terpenting dalam hidup Musa as adalah seorang saudara perempuan yang masih kecil atau muda umurnya namun memiliki aqal yang amat genius melangkaui usianya.

Kakak Musa melihat kegentingan situasi yang berlaku di dalam rumahnya saat diketahui bahawa adik yang baru sahaja dilahirkan oleh sang ibu adalah seorang bayi lelaki. Dia faham ketakutan yang dialami oleh ibu mereka saat itu.

Saat diperintahkan “ikutlah dia (Musa)”, kakak Musa as tidak memerlukan banyak bicara dan penjelasan. Dia tidak memerlukan penerangan tentang strategi untuk menghadapi saat cemas itu namun dia sendiri yang menyusun langkah agar pengekorannya untuk melihat keadaan adik lelakinya itu sama sekali tidak dihidu oleh sesiapa. Dia melihat bakul atau bekas yang diisi adik lelakinya itu tanpa ada manusia lain yang perasan bahawa ada objek aneh sedang belayar mengikut arus. Kerana jika sahaja diketahui bahawa ada objek aneh yang sedang dilayarkan, pastilah akan nada pihak tentera yang lekas-lekas meregut bekas itu dan pastilah rahsia kelahiran adik lelakinya diketahui dan dibunuh.

“Dan berkatalah ia (ibu Musa) kepada kakak Musa: “Pergilah cari khabar beritanya”. (Maka pergilah ia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya” (alQasas: 11)

Ketika kakak melihat bekas yang membawa adik lelakinya memasuki perkarangan istana firaun, dia tidak bertindak melulu atas desakan ketakutan dan ketidak warasan minda. Kakak Musa as malah duduk di sekitar benteng istana menunggu sebarang berita dan episod yang akan berlaku seterusnya dengan sabar dan cermat.

Musa as yang ditakdirkan untuk menolak semua susu yang disediakan pihak istana, telah menimbulkan kecemasan dan kekacauan di dalam istana. Asiah yang kerisauan yang kerisauan telah mengarahkan agar dicari mana-mana ibu susuan dalam kalangan Bani Israel yang boleh menyusukan Musa.

Saat itu, ketika wakil pihak istana keluar dari pintu istana dengan membawa bayi lelaki yang menangis, ketika masyarakat berkerumun melihat kecemasan yang sedang berlaku, kakak Musa as dengan penuh tertib, tenang dan selamba, tampil ke hadapan pihak istana, “Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada penghuni sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?” (alQasas, 12).

Tawaran yang dikemukakan oleh kakak Musa as yang genius itu sama sekali tidak menimbulkan langsung syak wasangka dalam kalangan pihak istana bahawa anak perempuan di hadapan mereka itu adalah saudara bayi itu dan rumah yang ditawarkan kepada mereka adalah rumah asal tempat lahirnya bayi bani Israel itu.

Maka pulanglah Musa as dengan dihantar oleh bala tentera istana ke hadapan pintu rumahnya dan ibu Musa as dengan penuh kegetaran emosi menyambut kembali anak lelakinya ke dalam dakapannya.

“Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya ia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu)” (alQasas: 13)

ALLAH.

Bukankah anak perempuan itu sangat bijak, pintar dan mempunyai ketajaman aqal untuk berfikir dengan sangat kritis hanya dari pemerhatiannya terhadap situasi-situasi yang berlaku?

(Bersambung ke ‘4 Wanita dalam Hidup Musa as siri II’)

Rujukan:

Rasyid Ghounnusyi. alMarah: Bainal quran wa waqia’l muslimeen.

Nazri Mustaqim. Peranan pemudi dalam sesebuah negara.

Leave a Reply