4 Keutamaan yang Anda perlu tahu tentang 10 Hari Dzulhijjah 

Hari ini bermakna masuklah kita dalam bulan Dzulhijjah. Ada beberapa perkara yang kita kena tahu ada kelebihan tersendiri dalam bulan ini terutamanya

1. Sepuluh hari yang terbaik

“Imam Ahmad RA, meriwayatkan dari Ibn Umar RA, bahwa Nabi SAW bersabda : Tidak ada hari yang paling agung dan amat dicintai Allah untuk berbuat kebajikan di dalamnya daripada sepuluh hari (Dzulhijjah) ini. Maka perbanyaklah pada saat itu tahlil, takbir dan tahmid”. (Riwayat Tabrani dalam Mu’jam Kabir)

Para ulamak berpandangan 10 Hari yang terbaik di sisi Allah adalah 10 Hari awal Dzulhijjah berdasarkan hadis di atas adapun 10 Malam yang terbaik adalah 10 Malam terakhir Ramadhan.

Jelas hari-hari tersebut merupakan hari yang paling agung dan amat dicintai Allah SWT.

2. Allah bersumpah dengan 10 hari tersebut

Berkenaan dengan 10 Hari dalam Dzulhijjah ini Allah berfirman:

“Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)” Al-Fajr: 1-2

Ibn Katsir dalam tafsirnya menyebut malam yang sepuluh dalam ayat ini merupakan 10 hari Dzulhijjah.

Ulamak berpandangan apabila Allah bersumpah dengan sesuatu bermakna sesuatu yang disumpah itu mempunyai kedudukan yang besar serta nilainya di sisi Allah. Maka Allah bersumpah dengan 10 Dzulhijjah bermakna hari-hari tersebut mempunyai kedudukan yang besar di sisi Allah.

3. Di dalamnya ada 3 hari penting 
10 hari dalam Dzulhijjah juga menjadi besar dan utama nilainya di sisi Allah kerana terdapa 3 hari penting iaitu

Hari Tarwiyah: Hari kelapan Dzulhijjah – Hari yang penting bagi mereka yang membuat haji malah hari tersebut merupakan hari yang bersejarah apabila Nabi Allah Ibrahim mendapat mimpi untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail.

Hari Arafah: Hari kesembilan Dzulhijjah di mana jemaah haji berwuquf di Arafah dan mereka yang tidak melaksanakan ibadah haji pula disunnatkan untuk berpuasa pada hari tersebut.

Hari Nahr: Nahr bermaksud sembelihan dan hari kesepuluh Dzulhijjah dinamakan sebagai hari nahr, hari yang pertama disunnatkan untuk melaksanakan korban malah Rasulullah SAW sendiri bersabda:

“Hari yang paling agung di sisi Allah adalah hari An-Nahr kemudian hari Al-Qarr” (Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Oleh kerana 3 Hari Penting ini menjadikan 10 Hari Dzulhijjah mempunyai keutamaannya yang tersendiri.

4. Lebih baik daripada keluar Jihad

Amalan dalam 10 hari Dzulhijjah lebih baik dari Jihad sedangkan jihad perlu keluar segala macam bentuk daya dan tenaga sedangkan amalan dalam 10 Hari Dzulhijjah tidaklah sebesar daya dan tenaga perlu dia habiskan tetapi ia lebih besar nilainya kecuali mereka yang keluar berjihad dengan harta dan nyawanya kemudian tidak kembali dengan sesuatu apapun.

Ini didasari dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

Dari Ibn ‘Abbas RA bahwa Nabi SAW bersabda : “Tidak ada hari dimana amal soleh pada saat itu lebih dicintai oleh Allah daripada hari-hari ini, iaitu : Sepuluh hari dari bulan Dzulhijjah. Mereka bertanya : Ya Rasulullah, tidak juga jihad fi sabilillah ?. Beliau menjawab : Tidak juga jihad fi sabilillah, kecuali orang yang keluar (berjihad) dengan jiwa dan hartanya, kemudian tidak kembali dengan sesuatu apapun”.

Cukuplah 4 Sebab yang dinyatakan ini menzahirkan keutamaan 10 hari Dzulhijjah berbanding hari-hari yang lain. Maka rebutlah peluang dan ruang untuk dipenuhi dengan amal yang soleh.

Leave a Reply