Membandingkan Isteri Dengan Bidadari Syurga?

Dalam perjalanan semasa fatrah (tempoh) beraya lepas, terdengar seorang ustaz bercerita menerusi radio IKIM, tentang gambaran syurga.

Digambarkan bidadari syurga yang sangat indah, jelita, putih melepak, betis mereka sehingga terlihat urat lantaran terlalu jernih, mata yang berbinar, bibir yang merekah, suara yang gemersik merdu bla bla bla.

Dan ustaz tersebut menambah, “kerana itu wahai isteri, kena rasa cemburu dengan bidadari-bidadari syurga. Mereka terlalu indah untuk suami kita, mereka terlalu baik, santun dan menghiburkan. Para isteri perlu ada cemburu dengan bidadari syurga ini kerana mereka ini nanti yang akan menjadi pendamping suami kita nanti” (mafhum).

Saya yang mula-mula berasa syahdu dengan gambaran syurga, tiba-tiba berasa kurang enak dengan ‘ancaman’ seperti ini.
Semenjak bila para isteri layak dibandingkan dengan bidadari syurga?
Semenjak bila para isteri perlu cemburu dengan bidadari syurga?
——————————————————

Membandingkan isteri dengan bidadari syurga adalah perbandingan paling tidak adil seorang manusia boleh lakukan.

Bidadari syurga adalah sejenis makhluk yang lain manakala isteri adalah sejenis makhluk yang lain. Mereka tergolong dalam golongan malaikat yang maksum manakala isteri tergolong dalam makhluk manusia.

Bidadari syurga tidak mukallaf. Mereka tiada tanggungjawab. Mereka tiada kehendak. Mereka tiada nafsu syahwat. Mereka tiada kelemahan. Mereka sempurna sesuai dengan tujuan ciptaan mereka. Paling penting, mereka tidak dicampakkan ke dunia dan tidak hidup sebagai manusia yang penuh pancaroba. Iman mereka statik, tidak pernah sekalipun menurun. Mereka cantik indah dan mempersona kerana tujuan penciptaan mereka HANYA SEMATA sebagai pelayan dan penghibur.Mereka dicipta dengan kecantikan yang tidak terjangkau dek aqal kerana itulah kenikmatan syurga, di dalamnya penuh kenikmatan yang tidak terjangkau dek aqal.

Manakala wanita yang menjadi isteri adalah makhluk mukallaf. Di pundaknya terpikul berjuta tanggungjawab dan amanah berat sebagai hamba Allah, sebagai isteri, sebagai anak perempuan, sebagai ibu, sebagai saudara, sebagai ibu saudara, sebagai sepupu, sebagai sahabat, sebagai pekerja, sebagai pelajar dan so on.
Isteri ada kelemahan, isteri ada kehendak, isteri ada nafsu yang dia sedang berjihad melawannya, isteri ada perasaan, isteri ada amarah, isteri ada kesedihan, isteri ada hak dan keperluan. Isteri adalah manusia yang tidak sempurna sama ada dari segi fizikal, spiritual mahupun mental kerana itu memang sifat setiap manusia yang PASTI mempunyai limitasi tersendiri.

Membandingkan isteri dengan bidadari syurga merupakan perbandingan yang mustahil seperti mana jika kita membandingkan limitasi manusia untuk terbang dengan para jin yang boleh muncul dan ghaib pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka mahu.

Isteri tidak perlu mencemburui bidadari syurga bahkan bidadari syurga yang mencemburui para isteri di dunia.

Kita merupakan makhluk manusia yang mempunyai iman turun dan naik, namun kita berusaha, kita menangis, kita merayu pada Allah untuk keampunan dan rahmatNya. Kita merempuh jahiliyah luar yang merosakkan dan kita membentengi jahiliyah dalam diri dengan segala kudrat yang ada. Kita tahan amarah kita, kita tahan keletihan diri kita, kita tahan emosi kita, kita tahan kehendak nafsu kita sehingga terduduk menangis melutut kerana kita sedar banyak waktu kita tewas, namun kita tetap berusaha menjadi muslimah solehah dan isteri yang menyenangkan.

Kita kutip setiap sisa kudrat yang ada membalut luka hati yang tercalar malah ada waktu tertikam dalam. Bermuamalah dengan suami yang juga manusia. Bermuamalah dengan mertua yang juga manusia. Bermuamalah dengan tetangga yang juga manusia. Bermuamalah dengan teman sekerja yang juga manusia. Semua itu ujian yang menggigit hati.

Isteri bersama suami semasa di dunia, dalam keadaan sama-sama penuh kelemahan dan penuh kekurangan. Namun kerana saling bersabar dan saling mengingtakan kepada kebaikan, alhamdulillah masing-masing masuk ke dalam syurga. Dan bidadari syurga menerima suami dalam keadaan mereka ahli syurga yang telah terhapus segala kelemahan dan kekurangan. Mereka menerima suami dalam keadaan suami telah menjadi ahli syurga yang sifat mereka disucikan dan hanya menyebarkan salam (kebaikan dan kesejahteraan).
Maka bukankah membandingkan para isteri dengan bidadari syurga adalah suatu perbandingan yang tidak adil?

Siapakah yang menjadi kekuatan untuk suami menjadi ahli syurga jika bukan para isteri?

Suami yang layak masuk ke dalam syurga pastilah yang tidak ditarik kaki mereka oleh para isteri ke dalam neraka. Maka, bukankah di belakang para suami yang berjaya memasuki syurga di belakangnya dan bersamanya adalah para isteri yang redha dengan suami yang melakukan kebaikan?

Hatta jika suami seorang mujahid yang mengejar ‘ain al-mardhiah sekalipun, di belakangnya adalah isteri yang ditinggalkan bersama anak-anak. Isteri yang redha ditinggalkan suami demi seruan jihad meski dia tahu langkah keluar suami itu bermakna terpisah sudah mereka di dunia dan dia perlu melalui setiap hari-harinya dengan sepi dan sendiri menguruskan rumahtangga dan anak-anak.

Isteri para mujahid inilah yang menjaga maruah diri mereka, menjaga harta benda suami dan yang menjalankan amanah sepanjang ketiadaan suami. Mereka menangis dan mengadu hanya kepada Allah. Mereka bersusah payah sendiri kerana redha dengan jihad suami.

Dan jika suami perolehi syahid, para isteri inilah yang redha dan tetap bersabar meneruskan kehidupan. Ketika suaminya telah menikmati taman dari taman-taman syurga (alam kubur), para isteri mujahid ini masih jerih mendepani ujian dunia yang mencabar dan yang menghimpit.

Maka bukankah membandingkan para isteri dengan bidadari syurga adalah perbandingan yang tidak adil?

Jika sekalipun ingin memberi motivasi agar para isteri bersungguh-sungguh melakukan kebaikan di dunia, tetap sama sekali MUSTAHIL untuk meminta isteri mencemburui bidadari dengan membandingkan kesempurnaan bidadari. Logikkah jika isteri berkata kepada suaminya, “abang, abang ni kenapa tak jadi soleh dan layan saya dengan baik? nanti saya masuk syurga saya dapat berjumpa malaikat jibril yang kacak dan sempurna, saya nak berkahwin dengan malaikat jibril sebab siapa suruh abang tak cukup bagus melayani saya”. 

Lucu dan menyakitkan hati bukan?

Justeru wahai para suami, jika kalian tidak gemar dibandingkan dengan keperibadian Rasulullah s.a.w. yang maksum, usah juga membandingkan isteri dengan bidadari syurga yang juga maksum, malah merupakan makhluk lain berbeza dengan jenis manusia.

Begitu juga para isteri, jika kita tidak gemar dibandingkan dengan bidadari syurga, usah pula bandingkan suami kita dengan Rasulullah s.a.w. yang mulia.

Semoga kita saling menyedari bahawa kita sering mempunyai kelemahan.

*bab isteri akan jadi ketua bidadari, tu bab lain. Ini bab spesis yang suka mengugut atau membanding-bandingkan.

Leave a Reply