Harta ibubapa yang paling bernilai

Memiliki anak yang soleh serta taat kepada ibubapanya merupakan hasrat semua ibubapa. Namun pendidikan anak-anak tidaklah semudah yang disangkakan.

Ramai yang menyangka bahawa kejayaan dalam mendidik anak-anak adalah dapat membesarkan mereka dengan memberi makanan dan minuman yang terbaik sehingga mereka memiliki tubuh badan yang sihat. Jika itulah pendidikan anak-anak, maka ramailah yang berjaya dalam mendidik anak-anak.

Kita sedia maklum bahawa penekanan dalam mendidik anak-anak bukan sahaja difokuskan dari aspek luaran malah ia perlu difokuskan juga pada aspek dalaman anak-anak. Adakah kulit buku yang mempunyai reka bentuk yang cantik anda katakan ia adalah buku yang terbaik? Sudah tentu tidak. Itulah perumpamaan yang boleh dikaitkan.

Jadi, jika kita berbicara berkenaan dengan pendidikan anak-anak, maka aspek dalaman juga perlu diambil kira dan kejayaan dari aspek dalaman inilah merupakan kayu ukur untuk menentukan bahawa pendidikan ibubapa itu berjaya atau sebaliknya.

Bukan mudah untuk mendidik anak-anak agar mentaati ibubapa. Ia tidak semudah yang disangkakan. Inilah perkara yang paling menakutkan kita sebenarnya.

Ibubapa pasti akan sampai ajal mereka. Kebiasaanya ibubapa akan meninggal sebelum anak-anak mereka melainkan jika ianya diizinkan oleh Allah untuk berlaku yang sebaliknya.

Jadi, apabila ibubapa telah tiada lagi di dunia dan meninggalkan anak-anak mereka, apakah yang akan berlaku terhadap anak-anak tersebut?

Adakah kita mengharapkan abang atau gurunya untuk mendidik? Bagaimana kita akan tahu kesudahannya?

Jawapannya adalah, bagaimana kita menanamkan pendidikan dalam diri anak-anak kita sewaktu kita hidup bersamanya dahulu kala? Adakah kita bersungguh-sungguh mendidiknya atau kita tidak menghiraukannya?

Ingatlah, jika kita mendidik mereka untuk mentaati kita, menghormati kita, memperbanyakkan doa kepada kita sewaktu kita hidup dan setelah kita mati, dan menanamkan keikhlasan dalam diri mereka, maka mereka adalah sebenar-benar aset kita pada hari kiamat nanti. Merekalah yang akan menjamin pahala dan keampunan kita sentiasa berjalan.

Maka tanamkanlah kebaikan dalam diri mereka sewaktu kita masih hidup dan pesanlah kepada mereka agar menunaikan hak-hak kita setelah kita tiada.

Kata seorang ulama :

5 perkara untuk berlaku baik kepada ibubapa selepas ketiadaan mereka :

Berdoa untuk mereka, memohon ampun untuk mereka, melaksanakan wasiat mereka, memuliakan teman-teman mereka, dan mengeratkan silaturrahim bersama kenalan-kenalan mereka yang kamu belum pernah bertemu mereka sebelumnya lalu kamu bertemu.

Amatlah perlu untuk ditekankan kepada anak-anak kita perkara-perkara tersebut agar mereka sentiasa mengamalkannya untuk keselamatan kita di akhirat kelak.

Jadi, usaha dan keikhlasan dalam mendidik anak-anak perlu ditekankan mulai sekarang. Perlu juga perbanyakkan tawakkal dan pergantungan kepada Allah agar Allah membantu dalam urusan kita serta memberi kita kejayaan dalam mendidik anak-anak kita.

Wallahua’lam.

Leave a Reply