Allah… Bahagianya mereka yang bersabar terhadap kematian anak

Ketikamana seorang muslim telah sampai ke peringkat iman dan keyakinan yang tinggi serta beriman dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah ke atasnya, maka segala musibah, permasalahan, kesusahan yang dihadapinya akan menjadi kecil sahaja dan semuanya diserahkan kepada Allah dengan hati yang tenang serta sabar dalam sesuatu ujian yang dihadapinya.

Daripada ketinggian iman sebeginilah junjungan kita Nabi Muhammad ﷺ memberitahu kepada kita bahawa sesiapa yang anaknya dipanggil pulang oleh Allah lalu dia bersabar dan mengucapkan innalilah wainna ilaihi rajiun, Allah akan membina untuknya satu rumah di syurga kelak dan rumah itu diberi nama Baytul Hamd (rumah kepujian)

Diriwayatkan oleh At-tirmidzi dan Ibn Hibban, daripada Abu Musa Al-Asy’ary bahawa nabi ﷺ bersabda :

Apabila matinya anak hamba Allah, Allah bertanya kepada para malaikat :

‘’Kamu telah selesai mencabut nyawa anak kepada hambaKu?’’

Lalu para malaikat berkata :

‘’Ya’’.

Kemudian Allah bertanya lagi :

‘’Apa yang diucapkan oleh hambaKu?’’

Para malaikat pun berkata :

‘’Dia memuji Engkau dan berkata : Innalillah wainna ilaihi raji’un’’.

Lalu Allah memerintahkan :

‘’Binalah satu rumah untuknya di syurga dan beri nama rumah tersebut Baytul Hamd’’.

Terlalu mulianya kedudukan orang yang bersabar dengan ujian yang besar ini antaranya, ia adalah sebagai jalan ke pintu syurga dan penghalang kepada neraka.

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abi Saied Al-Khudry bahawa Rasulullah ﷺ pernah berkata kepada seorang wanita : Tiada sesiapa pun di kalangan kamu yang telah mati tiga orang anaknya melainkan anak-anak tersebut akan menjadi penghalang bagi mereka daripada neraka. Lalu wanita tersebut bertanya : Jika dua orang? Rasulullah ﷺ bersabda : Dua orang pun sama.

Berdasarkan hadis di atas, mungkin kita tertanya-tanya, jika kematian seorang anak sahaja bagaimana? Sebab rasulullah ﷺ hanya merestui dua orang sahaja?

Jika timbul persoalan sebegitu, ketahuilah anda seperti beberapa sahabat nabi yang lain ketika mendengar hadis sebegini daripada Jabir. Ketika itu mereka terus berbincang sesama mereka :

‘’Rasulullah ﷺ berkata tentang orang yang kematian tiga orang anak lalu baginda terus berkata dua orang pun sama. Adakah kamu tidak menyangka bahawa jika baginda ditanya tentang kematian seorang anak, adakah baginda akan berkata begitu juga?’’

Lalu Jabir berkata :

‘’Ya, aku pun rasa begitu’’.

Terdapat banyak lagi hadis-hadis yang telah menyebut tentang kelebihan-kelebihan seumpama yang disebutkan di atas, antaranya hadis yang mengatakan bahawa jika anak kecil mati, maka ayahnya akan diberi syafaat pada hari kiamat kelak. Allahuakbar!

Begitu gembira dan bahagianya bagi mereka yang kematian anak lalu mendengar berita sebegini. Ingatlah, Allah tidak akan mensia-siakan kesabaran hambaNya yang diuji dengan sesuatu ujian. Kunci untuk menghadapi segala keburukan dan kesusahan adalah bersabar. Semoga Allah mengurniakan kepada kita kesabaran yang tinggi agar kita bersedia menghadapi ujian-ujianNya.

Di bawah ini adalah satu doa yang diajarkan nabi ﷺ kepada kita apabila ditimpa suatu musibah :

إِنَّا للَّهِ وَإِنَّا إِليهِ رَاجِعُونَ: اللَّهمَّ أجرني في مُصِيبَتي، وَاخْلُف لي خَيْراً مِنْهَا

Maksudnya : ”Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami akan kembali.. Ya Allah, berilah aku pahala dalam musibahku ini dan berilah ganti yang lebih baik daripadanya”

Wallahua’lam.

Rujukan :

  • Tarbiyatul Aulad, Dr Abdullah Nasih ‘Ulwan
  • Al-Maany
  • Bukhary & Muslim

 

Leave a Reply