Hukum berkahwin dengan wanita asing kerana mahu memiliki kerakyatan

Doktor Abdullah Bin Mohd Alomari yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Al-Imam Mohd Bin Saud Al-Islamiyah telah menerima satu soalan berkenaan perkahwinan.

Soalannya berbunyi :

Sheikh, apa pandangan sheikh tentang perkahwinan dengan tujuan untuk mendapat surat-surat rasmi daripada Barat khususnya UK atau US? Diharap sheikh dapat menjawab soalan saya dengan jelas. Jazakumullahu khair.

Jawapan :

1) Jika kedua-dua pasangan telah bersepakat untuk berkahwin hanya pada tempoh yang pendek kerana mahu menunggu surat rasmi dari negara tersebut, kemudian sesudah memperolehinya mereka akan berpisah, maka ia merupakan nikah mut’ah yang diharamkan.

2) Jika perkahwinan berlangsung tanpa terikat dalam tempoh yang tertentu, tetapi suami berniat akan talak isteri jika memperolehi surat rasmi, maka ia merupakan nikah dengan niat talak.

Ulama telah berbeza pendapat tetapi rajihnya jika perkahwinan tersebut berlangsung dan lengkap dengan rukun-rukun dan syarat-syaratnya, maka ia adalah harus walaupun dengan niat talak.

Tetapi apa yang perlu ditekankan di sini adalah, antara tujuan perkahwinan disyariatkan adalah supaya setiap pasangan dapat tinggal dan menetap bersama.
Jadi, hendaklah bagi mereka yang mahu berkahwin dengan wanita asing untuk memilih calon-calon yang akan bersama dengan mereka sehingga akhir hayat, maka daripada situlah akan berlakunya tujuan sebenar perkahwinan itu dilangsungkan. Wallahul Muwaffiq.

Leave a Reply