Jangan bercita-cita wahai perempuan

“buat apa penat-penat sambung belajar? Baik duduk rumah jaga makan minum suami. Nanti suami cari lain kan susah”,

Sinis komentar yang hinggap di telinga itu.

“kesian la siapa yang berbinikan doktor, terabai kehidupan. Semua kena urus sendiri. Siapa suruh cari bini doktor”,

Maka isteri yang terhimpit dengan keperluan sumbangannya kepada masyarakat dan dalam masa yang sama dituntut untuk ‘pastikan suami makan air tangan isteri’, terduduk menangis dan tertekan emosi akibat sindiran yang tidak henti.

Ya. Mempunyai cita-cita membuktikan kami juga manusia seperti makhluk lelaki, namun hakikatnya wanita tetap tidak dapat lari dari sebuah dilema.

Credit pic: Mvslim.com
Isu: Dilemma Have It All.

Tertarik dengan isu yang cuba dibawa oleh golongan femnisme yang realistik sekitar tahun 2012, iaitu ‘Can women really ‘Have it all’?” dengan mengetengahkan perbincangan-perbincangan seputar permasalahan besar bagi wanita iaitu, -bukan masalah dalam pengurusan antara kerjaya dan keluarga- tetapi lebih besar dari itu, iaitu wanita-wanita yang takut untuk bercita-cita.

Seorang journalist wanita menulis dalam akhbar ‘The Atlantic’, berkenaan sebuah tajuk menarik, iaitu “We Need To Tell Girls, They Can Have It All (even if they can’t)”, dan dikisahkan pernah berlaku semasa Anne Mulchahy, seorang tokoh korporat wanita yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang itu dijemput untuk memberikan ucapan di Harvard Business School, ada seorang peserta bertanyakan soalan, “what it took to be CEO?”. Dan beliau menjawab, beliau perlu berhenti daripada menangis di tepi jalan ketika berhadapan dengan situasi tekanan bisnes dan rumahtangga.  Jawapan tersebut membuatkan topik perbincangan dan soalan peserta bertukar dari topik business leadership kepada work-life balance, hanya kerana peserta lebih tertarik untuk mengenali bagaimana mampu seorang wanita memenuhi cita-citanya.

Gayle, journalist tersebut kemudian menimbulkan persoalan, “Is all of this talk about our personal lives undermining women? And do we spend as much time encouraging girls to excel as we do helping them balance work and family?”.

Tidak dinafikan bahawa memiliki cita-cita dan kesungguhan ke arah mencapai cita-cita bagi seorang wanita, merupakan antara dilema terbesar dalam hidup. Saya sendiri tidak terkecuali, lebih-lebih lagi kini anak bakal memasuki angka 2.

Lantaran kita dimomokkan oleh pemikiran masyarakat yang penuh ugutan seperti, “perempuan tinggi manapun dia, ceruk dapur juga nanti”, “jangan banyak sangat bersuara, nanti tiada lelaki nak”, “perempuan tak payah sibuk urusan luar, nanti keluarga cerai berai”, “siapa suruh isteri dia sibuk, sebab tu suami dia curang” dan momokan-momokan lain yang negatif. Sehingga peratus wanita yang berjaya memenuhi cita-cita sebenar yang diburu dalam masa yang sama berkeluarga adalah sangat kecil.

Tertarik mengikuti perbincangan-perbincangan seputar, “Do women find it hard to be ambitious due to guilt and pressure to raise a family?”.

CNN telah mengadakan temu bual bersama 10 orang tokoh wanita yang terdiri dari kalangan senator, CEO, perancangan strategi bagi parti politik, mantan timb. presiden saluran ESPN, dan sebagainya di bawah topik, “Our Struggle To Have It All”.

Konklusi yang dapat disimpulkan dari responder-responder ada 4, iaitu:

1- soalan tersebut tidak patut timbul hanya bagi wanita, mengapa lelaki juga tidak ditanya? Bukankah jika lelaki mempunyai kerjaya, mencapai cita-cita, dia juga perlu prihatin dan mengambil berat terhadap keluarganya? Kerana seorang bapa juga tidak boleh berlepas tangan dalam urusan keluarga, rumahtangga dan anak-anak.

2- masalah akan timbul apabila lelaki tidak berubah seiring perubahan yang dialami oleh wanita. Apabila lelaki-lelaki masih selesa ditakuk tradisional, memandang wanita sebagai orang gaji dan pelayan di rumah, pulang ke rumah mahu terus disambut di muka pintu dan terhidang air panas maka peluang untuk wanita berimpian besar akan sentiasa disekat dan diancam.

3- ‘have it all’ bukanlah sebagai matlamat sebenar, tetapi yang sebenarnya ialah mempunyai peluang untuk membuat keputusan dalam pemilihan seperti mana lelaki juga diberi peluang.

4- sokongan pihak luar, adalah sesuatu yang sangat-sangat diperlukan terutamanya stereotype masyarakat yang masih banyak negatifnya.

Sungguh. Saya tertarik dengan kesedaran bahawa wanita juga adalah manusia. Maka bukankah setiap manusia itu punya impian dan hak untuk diberi peluang membuat keputusan dalam hidup?

Hanya segelintir wanita yang diizinkan Allah untuk beruntung memiliki pasangan yang memahami dan bertolak ansur sepertimana yang selayak dan sepatutnya dilakukan oleh setiap pasangan.

Believe in Yourself and Negotiate For Yourself.

Arus baru feminisme ini dipelopori oleh seorang tokoh, Sheryl Sandberg, Ketua Pegawai Operasi Syarikat Facebook, juga merupakan mantan Timbalan Presiden Global Onlines Sales and Operation bagi syarikat Google dan tersenarai sebagai salah seorang dari 100 orang tokoh berpengaruh seluruh dunia oleh majalah TIME. (boleh tonton ucapannya dalam ruangan TED berkenaan tajuk: “Why we have too few women leaders”)

Sheryl cuba mengetengahkan 3 point penting bagi golongan wanita untuk melihat kehidupan yang lebih jauh.

Point 1: Sit at the table.

Hakikatnya, wanita sendiri yang perlu memiliki keberanian dari dalam untuk merobohkan benteng inferiority terhadap lelaki lantaran sebenarnya antara lelaki dan wanita, tahap intelektual dan gerak kerja adalah sama, tiada apa yang membezakan.

Gender tidak sepatutnya menjadi isu kerana kredibiliti, wibawa, kesungguhan dan nilai-nilai positif yang lain seharusnya yang menjadi kayu ukur dalam menilai kehebatan.

Makanya wanita harus berani untuk ‘sit at the table’, sebaris lelaki dalam membawa isu dan bidang yang menjadi kepakarannya. Tidak perlu terlebih segan dan ‘inferior’ hanya semata beranggapan lelaki lebih mahir atau lelaki lebih tajam buah fikiran mereka. Kerana banyak sejarah sohabiah dan cendekiawan Islam yang terdiri dari kalangan wanita, ilmu dan buah fikiran mereka bukan sahaja diiktiraf bahkan menjadi pakar rujuk ummat sejagat.

Point 2: Make your partner a real partner.

Ketenteraman dan toleransi dalam rumahtangga sangat memainkan peranan. Jujurnya fitrah seorang wanita, keluarga adalah segala-galanya. Ikatan tali keluarga kadang kala menjadi faktor wanita perlu berhenti malah berundur dari terus menapak.

Justeru, memilih dan memiliki pasangan yang memahami merupakan satu anugerah yang membantu seorang wanita memenuhi cita-citanya. Buat pilihan yang bijak dan berdoalah kepada Allah agar diberi pasangan hidup yang membantu dan menguatkan kita dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Selain itu, pandangan masyarakat harus diubah untuk lebih menghargai pilihan suami yang membantu isteri malah sewajarnya tindakan-tindakan baik sebegitu menjadi suatu fenomena biasa. Bak kata almarhumah Ustazah Yoyoh Yusra, mantan ahli parlimen Partai Keadilan Sejahtera (PKS) yang juga merupakan seorang isteri beranak 13 orang semuanya, dalam soal rumahtangga dan jawatannya sebagai tokoh masyarakat, “pernikahan itu sendiri terbina dengan komitmen dan prinsipnya adalah saling memberi dan berbahagi peranan”. (Beliau telah meninggal dunia dalam kemalangan pada 21 Mei 2011 dan pemergiannya ditangisi oleh seluruh masyarakat Indonesia).

Point 3: Don’t leave before you leave.

“Don’t leave before you leave. Stay in. Keep your foot on the gas pedal, until the very day you need to leave to take a break for a child- and then make your decisions. Don’t make decisions too far in advance, particularly ones you’re not even conscious you’re making”.

Seriously, kesan didikan momokan tanpa mengira dalam kalangan masyarakat barat dan timur, telah mencipta satu pemikiran dalam kalangan anak-anak muda wanita untuk melihat rumahtangga sebagai matlamat utama meski ketika itu mereka masih terlalu awal dan sedang berpotensi besar untuk terus menyumbang.

Sesungguhnya perkara ini adalah sesuatu yang amat bahaya kerana hasilnya, lambakan anak-anak muda wanita dibazirkan dengan kesibukan  berhias dan mencari cinta. Dan terhasillah satu kelompok masyarakat wanita yang takut untuk ke hadapan, berfikir, bersuara dan bertindak asing dari kepompong biasa pemikiran masyarakat, bimbang dilihat aneh dan rebellious.

Dan kekurangan serta kesilapan dalam memenuhi 3 point inilah yang membuatkan terciptanya darjat antara manusia yang sama, sekadar dibezakan oleh jantina lelaki dan wanita.

Penutup: Bercita-cita itu Bukti Menjadi Manusia yang Hidup.

Perjuangan kewanitaan seharusnya tidak mengejar kesama-rataan wanita dan lelaki dari sudut bentuk fizikal, tetapi perjuangan sebenar adalah dalam mendidik lelaki untuk memiliki kesedaran meletakkan wanita pada kemuliaan dan kebebasan sepertimana yang telah diletakkan oleh Islam.

Hal kebebasan terhadap wanita dalam membuat pilihan hidup ditekankan oleh Allah menerusi ayat penyusuan -yang lazimnya dilihat sebagai memang tugasan seorang ibu- namun tetap disyaratkan untuk mendapat persetujuan ibu itu sendiri, “..Apabila keduanya ingin menyapih dengan persetujuan dan pemusyawaratan antara keduanya, maka tidak ada dosa atas keduanya..” (alBaqarah: 233) apatah lagi dalam perkara-perkara berkaitan kehidupan seorang wanita itu sendiri.

Tidaklah saya melihat kepada perlunya wanita semua keluar menjadi pemimpin dan bekerjaya -lantaran saya sendiri cenderung untuk melebihkan keluarga- namun perkara yang perlu dilihat di sini ialah, masyarakat dan terutamanya kaum lelaki yang bakal menjadi suami perlu memiliki kesedaran untuk memberi peluang dan sokongan kepada wanita-wanita yang hidup di sekeliling mereka untuk memiliki cita-cita, memenuhi cita-cita dan membuat keputusan dalam hidup mereka sendiri selagi mana tidak berlawanan dengan hukum syarak.

Kerana, bukankah wanita juga manusia?

Leave a Reply