Hujah Nabi Ibrahim ini membuatkan ramai orang kafir diam tercengang.

Ingatkah anda tentang kisah seorang raja yang sangat zalim bernama Numrud ?
Allah Menyebuatnya di dalam al-quran agar manusia meneliti tentang kisah hebat ini yang melibatkan nabi Ibrahim dan Raja Numrud yang merupakan Raja Iraq ketika itu.

Ketika Numrud meminta untuk berdebat dengan nabi Ibrahim tentang Allah, ada satu Kehebatan Allah yang tiada sesiapa pun dapat melakukannya bagi mereka yang bergelar makhluk. Ia merupakan tamparan kepada keegoan Numrud yang tidak mahu menerima kebenaran yang nyata.

Apabila nabi Ibrahim menceritakan tentang Kekuasaan Allah Yang Mampu Menghidupkan serta Mematikan dengan berkata :

“Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”

Numrud dengan ‘loyar buruk’nya berkata :

 “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”

Lalu Numrud meminta pembantunya membawakan dua orang kepadanya dan membunuh salah seorang daripada mereka serta membiarkan seorang lagi untuk terus hidup!

Sebenarnya jawapan yang diberikan Numrud itu tidak menjawab langsung kenyataan nabi Ibrahim tentang Allah bahkan menampakkan kebodohannya sendiri.

Nabi Ibrahim tidak sesekali goyah dengan peristiwa pembunuhan Numrud ke atas orang tersebut walaupun ia merupakan satu peristiwa yang sungguh menakutkan bagi manusia yang berada di sekeliling mereka ketika itu.

Lalu dengan hidayah yang diberikan Allah kepada nabi Ibrahim, baginda memberi hujah yang tidak lagi memberi ruang kepada Raja Numrud untuk ‘loyar buruk’

Nabi Ibrahim berkata :

“Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat?”

Allahuakbar!

Jawapan yang diberikan nabi Ibrahim tersebut membuatkan Numrud dan orang-orang yang berada dalam kebathilan tercengang diam sehingga ternganga mulut mereka kerana merasakan ia bukannya jawapan yang biasa!

Namun begitu, Numrud tetap berkeras hati untuk menerima kebenaran yang disampaikan oleh nabi Ibrahim sehingga akhirnya dia mati dalam keadaan yang sungguh hina ketika Allah mengutuskan seekor nyamuk ke dalam telinganya.

Jika kita meneliti dengan lebih mendalam tentang kisah ini, kita akan dapati bahawa kebenaran itu tidak akan menjadi benar bagi mereka yang menutup pintu hati mereka daripada dimasuki oleh kebenaran.

Sehebat mana pun hujah atau peristiwa yang berlaku di depan mata, jika ia mengunci pintu hatinya dengan kunci keegoan dan keangkuhan serta tidak membenarkan untuk ia memasuki ke dalam hati, maka bagaimana lagi caranya?

Oleh kerana itulah hidayah merupakan satu-satunya pemberian yang Allah Kurniakan kepada hambaNya walaupun mereka menutup pintu hati mereka. Hidayah yang Allah telah Kurniakan kepada kita jangan sesekali kita menghalaunya keluar dari diri kita kerana jika kita berbuat demikian kemungkinan ia tidak lagi pulang kepada kita sehingga menyebabkan diri kita akan dimurkai olehNya. Wallahua’lam.

 

Leave a Reply